Imam Al Ghazali Dan Anak Muridnya

Suatu hari, Imam Al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya. Lalu Imam Al-Ghazali bertanya 6 soalan kepada murid-muridnya untuk dijawab.

Pertama, "Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?".

Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua, guru, teman dan kerabatnya.

Imam Al-Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita adalah "mati". Sebab itu sudah janji Allah SWT bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati.

"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya." 

( Surah Ali Imran 185 )

Kedua : Lalu Imam Ghazali meneruskan pertanyaan yang kedua. " Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?"

Murid-muridnya ada yang menjawab negara China, bulan, matahari dan bintang-bintang. Lalu

Imam Al-Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan adalah benar. Tapi yang paling benar adalah "masa lalu". Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak bisa kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama.


Ketiga : Lalu Imam Al-Ghazali meneruskan dengan pertanyaan yang ketiga. "Apa yang paling besar di dunia ini?"

Murid-muridnya ada yang menjawab gunung, bumi dan matahari. Semua jawapan itu benar kata Imam Ghazali. Tapi yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah "nafsu".

Justeru nafsu yang menguasai diri , menyebabkan manusia gagal menggunakan aqal , mata , telinga dan hati yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. untuk hidup berlandaskan kebenaran . Fenomena ini menyebabkan mereka terjerumus ke dalam Api neraka Jahanam .

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai." 
( Surah Al A'araaf 179 )

Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu membawa kita ke neraka .


Keempat : Pertanyaan keempat adalah, " Apa yang paling berat di dunia ini?"

Ada yang menjawab baja, besi dan gajah. Semua jawapan hampir benar, kata Imam Al-Ghazali, tapi yang paling berat adalah "memegang amanah".

"Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan." 
( Surah Al Ahzaab 72 )

Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka untuk menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah SWT, sehingga banyak dari manusia masuk ke neraka kerana ia tidak boleh memegang amanahnya.


Kelima : Pertanyaan yang kelima adalah, " Apa yang paling ringan di dunia ini?".

Ada yang menjawab kapas, angin, debu dan daun-daunan. Semua itu benar kata Imam Al-Ghazali, tapi yang paling ringan di dunia ini adalah "meninggalkan solat". Gara-gara pekerjaan, kita tinggalkan solat, gara-gara meeting kita tinggalkan solat.


Keenam : Lantas pertanyaan ke enam adalah, " Apakah yang paling tajam di dunia ini?".

Murid-muridnya menjawab dengan serentak, pedang... Benar kata Imam Al-Ghazali, tapi yang paling tajam adalah "lidah manusia". Kerana melalui lidah, manusia dengan begitu mudah menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.
Salam Ukhuwah..~
Read more ...

KENAPA KITA PERLU MENUTUP AURAT ?

Pernah terjadi suatu kisah yang menceritakan tentang seorang gadis bukan Islam yang sangat terpikat dan mengagumi Islam.

Dia juga sudah boleh memahami dan menerima segala-galanya tentang Islam kecuali satu perkara.

Mengapa wanita Islam mesti menutup aurat terutama memakai tudung?

Sudah banyak orang yang ditanya oleh gadis itu termasuk ustaz-ustaz dan orang Islam lainnya. Namun dia masih belum dapat berpuas hati dengan jawapan-jawapan mereka semua.

Pada suatu hari, kawan gadis itu telah membawanya berjumpa dengan seorang ustaz pula. 

“Maaf ustaz, inilah sahabat yang saya maksudkan tempoh hari. Alhamdulillah dia sudah mempercayai tentang Islam dan isinya. Cuma yang menyekat dirinya daripada melafazkan syahadah ialah kerana dia tidak dapat menerima alasan mengapa Islam menyuruh penganut wanitanya menutup aurat.”

Ustaz muda yang berjanggut sejemput itu tersenyum. Seakan faham dia pada masalah yang menjadi halangan kepada gadis itu.

Sejurus kemudian dia bersuara kepada gadis itu.

“Boleh saya bertanyakan beberapa persoalan dan awak jawap dengan sejujur mungkin?”

“Boleh, tidak ada masalah.” Tingkah si gadis.

“Baiklah, kamu pernah ke pasaraya?”

“Pernah.”

“Pernah masuk ke kedai emas?”

“Pernah.”

“Pernah ke pasar malam?”

“Pernah.”

Ustaz muda itu terdiam sejenak. 
Lantas menyambung kembali persoalannya.

“Baik, antara tempat-tempat yang saya nyatakan tadi di manakah dipamerkan atau dijual batu permata, intan berlian, emas perak yang mahal-mahal harganya?”

“Tentu sahaja di kedai emas.”

“Bagaimana keadaannya?”

“Diletakkan di para yang cantik untuk pameran, dilindungi cermin yang kukuh dan kalis peluru untuk mengelak dari dikhianati. Bahkan mungkin tersimpan di dalam peti besi bagi tujuan keselamatannya dan hanya boleh dilihat oleh orang-orang tertentu sahaja.”

“Bagaimana pula dengan barangan kemas dari jenis yang sama namun barangan tiruan. 
Di manakah tempat mereka?”

“Jika yang sebegitu, mudah sahaja dijumpai di tepi-tepi jalan, malah sentiasa terdedah dan tidak ada yang sudi mencurinya kerana kemurahannya itu.”

Mata sahabat gadis itu bersinar, “Ada harapan,” katanya di dalam hati.

Ustaz tersebut segera menerangkan maksud analogi itu.

“Begitulah juga Islam yang sentiasa meletakkan wanita di tempat yang tinggi dan perlu sentiasa terjaga. Kewajipan menutup aurat adalah kerana tubuh badan seorang wanita itu adalah sangat berharga dan suci, mana mungkin kemuliaan dan kesucian seorang wanita itu dipamerkan kepada manusia yang tidak sepatutnya? Ibarat emas permata,intan berlian yang sentiasa terjaga dan dilindungi malah diletakkan di dalam bekas yang cantik dan selamat.”

Gadis berdua itu terpana. Jelas, terang lagi bersuluh. Sahabatnya tidak putus mengucapkan syukur.

Dia berkata, “Jika begitu ustaz, mereka yang tidak menutup aurat ibarat barangan murahan yang dapat dijumpai di tepian jalan, boleh dipegang sesuka hati malah harga sangat murah? 
Jika begitu, benarlah suruhan Allah untuk wanita menutup aurat sepertimana yang termaktub dalam surah an-Nur ayat ke-31.”

Ustaz itu hanya tersenyum sambil mengangguk.

Dan si gadis itu berkata dengan lancar dan tenang, 
“Tiada Tuhan melaikan Allah, nabi Muhammad pesuruh Allah.”
Read more ...

Layak ke aku ke Syurga Mu Ya Allah?...



YA  ALLAH YA RAHMAN YA RAHIM, lindungilah dan peliharakanlah kami, kedua   ibubapa  kami,  isteri  kami, anak-anak kami, kaum keluarga kami & semua  orang Islam dari azab seksa api nerakaMu YA ALLAH. Sesungguhnya  kami  tidak layak untuk menduduki syurga Mu YA ALLAH, namun  tidak pula kami sanggup untuk ke neraka Mu YA ALLAH.  Ampunilah  dosa-dosa  kami,  terimalah  taubat kami dan terimalah segala  ibadah dan amalan kami dengan RAHMATMU YA ALLAH......AMIN.

Yazid  Arraqqasyi dari Anas bin Malik ra. berkata: Jibrail datang kepada  Nabi  saw  pada  waktu  yang  ia  tidak biasa datang dalam keadaan berubah mukanya,  maka  ditanya  oleh  nabi  s.a.w:  'Mengapa aku melihat kau  berubah muka?'

Jawabnya:  'Ya  Muhammad,  aku  datang  kepadamu  di saat Allah menyuruh   supaya  dikhabarkan  penyalaan api neraka, maka tidak layak bagi orang yang   mengetahui  bahawa neraka Jahannam itu benar, dan siksa kubur itu benar,   dan  siksa  Allah itu terbesar untuk bersuka-suka sebelum ia merasa aman  dari padanya.'  Lalu  nabi  s.a.w..  bersabda:  'Ya  Jibrail,  jelaskan  padaku  sifat   Jahannam.'

Jawabnya:  'Ya. Ketika Allah menjadikan Jahannam, maka dinyalakan selama   seribu tahun, sehingga merah, kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga   putih,  kemudian seribu tahun sehingga hitam, maka ia hitam gelap, tidak   pernah  padam  nyala  dan  baranya. Demi Allah yg mengutus engkau dengan  hak,  andaikan  terbuka sebesar lubang jarum nescaya akan dapat membakar   penduduk dunia semuanya kerana panasnya.

Demi Allah SWT yang mengutus engkau dengan hak, andaikan satu baju ahli neraka  itu  digantung di antara langit dan bumi nescaya akan mati penduduk bumi  kerana panas dan basinya.

Demi Allah SWT yang mengutus engkau dengan hak, andaikan satu pergelangan dari   rantai  yang  disebut dalam Al-Quran itu diletakkan di atas bukit, nescaya  akan cair sampai ke bawah bumi yang ke tujuh.

Demi  Allah SWT yang  mengutus  engkau  dengan  hak,  andaikan  seorang  di   hujung barat  tersiksa,  nescaya akan terbakar orang-orang yang di hujung  timur kerana sangat panasnya, Jahannam itu sangat dalam dan perhiasannya  besi  dan  minumannya  air  panas  campur  nanah  dan  pakaiannya  potongan-potongan api.

Api  neraka  itu  ada  tujuh pintu, tiap-tiap pintu ada bahagiannya yang tertentu dari orang laki-laki dan perempuan.'

Nabi  s.a.w.  bertanya:  'Apakah pintu-pintunya bagaikan pintu-pintu   rumah kami?'


Jawabnya:  'Tidak,  tetapi  selalu  terbuka,  setengahnya  di bawah dari  lainnya,  dari  pintu ke pintu jarak perjalanan 70,000 tahun, tiap pintu  lebih  panas  dari  yang  lain 70 kali ganda.' (nota kefahaman: iaitu yg  lebih bawah lebih panas)  Tanya Rasulullah s.a.w..: 'Siapakah penduduk masing-masing pintu?'  Jawab Jibrail:
'Pintu  yang  terbawah untuk orang-orang munafik, dan orang-orang yang kafir   setelah  diturunkan hidangan mukjizat nabi Isa a.s. serta keluarga Fir'aun sedang namanya Al-Hawiyah.  
Pintu kedua tempat orang-orang musyrikin bernama Jahim,  
Pintu ketiga tempat orang shobi'in bernama Saqar.
Pintu ke empat tempat  Iblis dan pengikutnya dari kaum majusi bernama  Ladha, 
Pintu kelima orang yahudi bernama Huthomah..
Pintu ke enam tempat orang nasrani bernama Sa'eir.'
Kemudian Jibrail diam segan pada Rasulullah s.a.w. sehingga di tanya: 'Mengapa tidak kau terangkan penduduk pintu ke tujuh?'

Jawabnya:  'Di  dalamnya  orang-orang  yg  berdosa besar dari umatmu yang   sampai mati belum sempat bertaubat.'

Maka nabi s.a.w. jatuh pengsan ketika mendengar keterangan itu, sehingga  jibrail  meletakkan  kepala  nabi  s.a.w.  di pangkuannya sehingga sedar   kembali  dan sesudah sedar nabi saw bersabda: 'Ya Jibrail, sungguh besar   kerisauanku  dan  sangat  sedihku, apakah ada seorang dari ummat ku yang   akan masuk ke dalam neraka?'
 
Jawabnya: 'Ya, iaitu orang yg berdosa besar dari ummatmu.' Kemudian  nabi  s.a.w.  menangis,  Jibrail  juga menangis, kemudian nabi  s.a.w. masuk ke dalam rumahnya dan tidak keluar kecuali untuk sembahyang kemudian  kembali  dan  tidak berbicara dengan orang dan bila sembahyang selalu  menangis  dan minta kepada Allah.(dipetik dari kitab 'Peringatan Bagi Yg Lalai')

Dari  Hadith  Qudsi:  Bagaimana  kamu  masih  boleh  melakukan  maksiat   sedangkan kamu tak dapat bertahan dengan panasnya terik matahari Ku..
Tahukah kamu bahawa neraka jahanamKu itu:

1. Neraka Jahanam itu mempunyai 7 tingkat

2. Setiap tingkat mempunyai 70,000 daerah

3. Setiap daerah mempunyai 70,000 kampung

4. Setiap kampung mempunyai 70,000 rumah

5. Setiap rumah mempunyai 70,000 bilik

6. Setiap bilik mempunyai 70,000 kotak

7. Setiap kotak mempunyai 70,000 batang pokok zarqum

8. Di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 ekor ular

9.  Di  dalam mulut setiap ular yang panjang 70 hasta mengandungi lautan
racun yang hitam pekat.

10. Juga di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 rantai

11. Setiap rantai diseret oleh 70,000 malaikat

Mudah-mudahan  ini dapat menimbulkan  keinsafan  kepada  kita semua. Wallahua' lam.

Al-Quran Surah Al- Baqarah Ayat 159 "Sesungguhnya  orang-orang  yang  menyembunyikan  apa  yang  telah  Kami turunkan dari  keterangan-keterangan  dan  petunjuk  hidayat,  sesudah  Kami   terangkannya  kepada  manusia  di  dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat  oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk."


Wassalam
Read more ...

Mayat Isteri Zina Diserang Ribuan Lintah



Zaman sudah berubah..isteri sekarang semakin berani berlaku curang!”

Kadar gejala seks bebas kian meningkat dalam masyarakat hari ini. Lebih menyedihkan ianya bukan sahaja melibatkan remaja malah lebih ramai di kalangan individu dewasa yang bujang mahupun yang telah berkahwin! Seperti yang pernah penulis kisahkan tentang kecurangan isteri dan balasan yang diterima akibat perbuatan menduakan suami, kini sekali lagi penulis ingin menceritakan azab seksa seorang wanita yang berkahwin tetapi masih melakukan seks bebas.

Kisah ini diceritakan kepada penulis oleh Bomoh Pakar Rawatan Sakit Cinta, En. Idris Zakaria yang kini menetap di Kampung Tasik Berangan, Pasir Mas, Kelantan. Kini beliau bergiat cergas berikhtiar mengubati masalah rumah tangga dan masalah cinta tidak kesampaian, mendapat cerita ini dari kes-kes yang telah diadukan kepadanya. Semoga kita mendapat manfaat dan pengajaran darinya.

“Dalam saya merawat seorang pesakit, saya telah dikhabarkan satu kisah tragis mengenai seorang isteri curang. Jamilah isteri kepada Husin masih jelita walaupun telah beranak pinak. Beliau pandai bergaya, bertudung litup, berkulit putih dan memiliki bentuk badan yang menarik. Jamilah mendapat sumber kewangan dengan cara berniaga kecil-kecilan iaitu dengan menjual beras seludup dari Thailand bagi membantu suami yang ketika itu hanya seorang petani di kampung.

Ketika itu kegiatan penyeludupan beras tidak dikawal oleh kerajaan seperti sekarang maka ramai para wanita melibatkan diri dengan berniaga beras seludup dari Thailand. Pendapatan hasil penjualan beras seludup tidak seberapa hanya boleh menampung hidup seharian sahaja.” Jelas En.Idris.

Suami Jamilah Husin berumur 50an ( bukan nama sebenar ) merestui pekerjaan isterinya itu. Husin juga nampak tidak selincah isterinya, beliau berjiwa lembut dan menurut apa sahaja kata isterinya tanpa banyak bantahan. Semakin lama peranan Husin sebagai ketua keluarga semakin pudar dek ketidaktegasan dirinya terhadap Jamilah yang semakin bebas ke sana ke mari.

Husin baik dan jujur orangnya dan tidak banyak perangai. Jamilah keluar masuk rumah dan melakukan pekerjaan kadang-kadang pulang lewat malam bahkan pernah juga tidak pulang untuk sehari dua tidak menjadi masalah pada Husin. Husin percaya akan apa yang Jamilah lakukan demi mencari wang dan membela nasib keluarganya.

Ramai wanita sekitar kampung Jamilah melakukan pekerjaan menjual beras seludup namun ianya hanya sekadar boleh menyara kehidupan ala kadar sahaja. Berbeza dengan Jamilah yang menampakkan sedikit mewah dengan gelang dan rantai emas yang banyak pada tubuhnya. Ramai orang mempertikai akan kelebihan Jamilah menampakkan mewah sebegitu. Maka ada beberapa orang yang ingin tahu bagaimana dia bekerja, sedangkan ramai juga yang melakukan pekerjaan sama namun tidak semewah Jamilah.

Semenjak itu banyak mata yang mengintip setiap pergerakan Jamilah tanpa disedarinya. Pada mula-mulanya rahsia Jamilah terbongkar ketika pihak Imigresen Thailand membuat pemeriksaan di sempadan maka tertangkap beberapa orang yang cuba menyeludup masuk beras dari Thailand termasuklah Jamilah ditahan sama ketika itu.

Namun setelah beberapa jam kemudian nampak Jamilah dilepaskan oleh seorang pegawai kastam Thailand dengan muka yang senyum dan beras seludupnya juga selamat dibawa balik ke Malaysia. Beberapa orang lain yang menyeludup masuk beras terpaksa membayar denda dan beras terpaksa dirampas Sikap tidak puas hati rakan-rakan penyeludup lain mula membuak-buak mengapa Jamilah terlepas sedangkan mereka menerima nasib sebaliknya. Maka siasatan dibuat oleh beberapa orang yang tidak puas hati berkenaan. Maka pada suatu hari mereka mendapat tahu rupa-rupanya Jamilah telah memberikan rasuah dengan Pegawai Kastam Thailand berkenaan dengan meniduri dirinya.

Malah rasuah tersebut bukan sekali dua bahkan telah banyak kali berlaku setiap kali tidak boleh membolosi diri ditahan Kastam Thailand di sempadan. Tidak lama kemudian dapat lagi berita mengatakan Jamilah juga membuat perniagaan sampingan ketika berada di Thailand. Rupa-rupanya Jamilah memperdagangkan tubuhnya sebagai pelacur dengan lelaki Thailand. Maka tidak mustahil Jamilah mampu membeli emas yang banyak.

Maka heboh diceritakan akan kisah Jamilah yang sedemikian rupa, orang ramai tidak hairan dengan kemewahan yang Jamilah miliki malah dicemuhi dan dipandang jijik terhadapnya oleh orang kampung serta masyarakat setempat. Tergamak Jamilah melakukan perkara terkutuk sedemikian semata-mata mencari sedikit kemewahan. Husin telah diberitahu gejala isterinya itu namun Husin tidak percaya cerita sedemikian dan membuat tidak tahu sahaja.

Husin yang sudah lewat 50an mungkin juga tidak segagah dahulu lagi manakala Jamilah berusia lewat 40an masih bernafsu tidak mustahil ianya satu perlakuan yang terdesak disamping minat pada wang. Husin hanya berserah pada Allah, hendak menuduh isterinya curang beliau tidak mempunyai cukup bukti dan tidak melihat dengan mata kepala sendiri.

Selang beberapa tahun kemudian Jamilah diserang sakit kepala lalu demam dan jatuh sakit. Makin hari makin teruk sakit Jamilah. Selang beberapa minggu kemudian Jamilah mengalami nazak yang teruk. Pada hari sakaratul maut Jamilah dikatakan menyalak seperti anjing untuk beberapa kali kurang daripada sepuluh salakan sebelum nyawanya habis. Jamilah habis nyawa dalam keadaan menyedihkan matanya terbeliak manakala lidahnya terjelir. Ahli keluarga yang berkumpul turut merasa pelik akan kelakuan Jamilah menyalak sebelum menghembuskan nafas terakhir dan mati dalam keadaaan yang sebegitu.

Upacara kematian seperti biasa orang kampung lakukan bagi menyempurnakan jenazah Jamilah. Setelah dikafankan liang lahad disukat dan digali tibalah masa untuk dikebumikan. Sebaik sahaja jenazah Jamilah dimasukkan ke liang lahad tiba-tiba didapati panjang liang lahad itu tidak mencukupi untuk menyimpan mayatnya. Mayat Jamilah diukur semula dan liang lahad di panjang sekali lagi namun masih tidak cukup panjang lagi. Diulangi kali ketiga dipanjangkan lagi liang lahad itu pun begitu juga masih tidak cukup panjang. Satu kejadian luar biasa telah berlaku mayat Jamilah disimpan begitu tanpa memanjangkan lagi liang lahadnya.

Setelah semua keluarga pulang ke rumah tiba masa untuk Husin membuat sijil kematian Jamilah pada hari itu juga. Bila diminta kad pengenalan daripada anak perempuannya kata anaknya itu, “Allah, abah sewaktu mengkafankan mayat ibu saya terletak kad pengenalan atas jenazah mak, bermakna kad pengenalan itu ada bersama mayat mak dalam kubur” Husin agak terganggu memarahi anak perempuannya itu namun terpaksa memanggil penggali kubur di situ agar menggali kembali liang lahad kubur arwah Jamilah yang baru beberapa jam dikebumikan tadi.

Maka kubur itu digali semula, alangkah terkejutnya beberapa orang yang mengikut Husin termasuk diri saya sendiri melihat mayat Jamilah telah didatangi beberapa ekor ulat seperti lintah namun bertaring menggigit tubuh mayat Jamilah. Husin mengenepikan beberapa ekor ulat itu beberapa kali namun ulat yang sama itu kembali ke tempat asal di mana ianya menggigit tubuh mayat Jamilah tadi. Kejadian itu amat pelik sekali.

Setelah itu mayat Jamilah terpaksa dipusingkan agar tangan boleh diseluk ke dalam bungkusan kain kafannya untuk mendapatkan kad pengenalannya. Dalam mengiringkan mayat Jamilah itu sekali lagi kejutan berlaku. Terdapat beribu-ribu ekor ulat seperti lintah bertaring itu berada di bawah mayat Jamilah . Segera kami menimbusnya kembali setelah berjaya mendapatkan kad pengenalannya itu.

Saya tidak dapat membayangkan akan apakah rahsia sebenarnya kejadian yang Allah pertunjukkan sebegitu. Namun saya terasa agak seram dan insaf bila melihat kejadian aneh sebegitu buat pertama kali dalam sejarah hidup saya. Di dunia lagi Allah sudah menunjukkan azabnya apatah lagi diakhirat kelak.

Saya boleh memberikan gambaran atas kejadian begitu bahawa kita manusia tidak boleh lari daripada azab pembalasan jika melakukan salah yang besar atau dosa yang besar. Bagi isteri-isteri tetapkan iman, jangan berlaku curang pada suami kita nescaya dosanya amatlah besar.

Dosa berzina sudah cukup besar tidak tertanggung bagi yang masih bujang, apatah lagi wanita yang bergelar isteri melakukan zina. Nauzubillah…hanya Allah sahaja yang mengetahui akan azabnya kelak.

Di dunia lagi sudah Allah tunjukkan maka sama-sama kita ambil iktibarnya supaya ianya tidak berulang lagi dimasa hadapan pada diri kita atau keluarga kita, minta disisihkan Allah.

p/s: Tak tau lah sejauh mana kebenaranya…sekadar untuk dijadikan tauladan kepada kita semua...Waallahualam.
Read more ...

AZAB SEORANG ISTERI DERHAKA KPD SUAMINYA....

 
Lama benar saya tidak berjumpa dengan Ariffin. Rasanya sudah lebih tujuh tahun sejak kawan lama saya itu di arahkan mengajar di Johor. Kerana itulah, apabila dia datang ke pejabat saya pagi itu, saya merasa terlalu seronok. 
" Eh, makin kurus nampak. Diet ke ?" kata saya setelah mempersilakannya duduk. " Tak adalah... biasa la cikgu, kan sekarang ni macam-macam kerja. Kurikulumlah, kokurikulumlah, sukanlah... badan gemuk pun boleh jadi tinggal tulang," balas Arifin. "Tengok ni ustaz, baju pun dah menggelebeh.Seluar pun longgar," tambah Arifin sambil menarik lengan baju untuk menunjukkan betapa kurusnya dia dan besarnya baju yang di pakai. Selepas bertanya itu ini dan mengusiknya serba sedikit, saya bertanya Arifin tentang hajatnya datang menemui saya. Yalah, tiba-tiba saja muncul, pasti ada hajat yang hendak di sampaikan. 
" Orang rumah saya sakitlah, ustaz ", kata Arifin. " Patutlah aku tengok engkau lain macam aja tadi. Ketawa pun hendak tak hendak. Sakit apa ?" saya bertanya. Agak lambat Arifin menjawab. Dia menarik nafas, kemudian meraup muka dan seterusnya bersandar di kerusi. Setelah itu di sorotnya mata saya dalam-dalam. 
" Entahlah..." katanya perlahan, "lima tahun lalu tiba-tiba saja badan dia melepuh-lepuh. Di kaki, paha, perut, dibelakang... penuh dengan lepuh macam orang terkena air panas, " kata Arifin. Tambah kawan lama saya itu, dia telah membawa isterinya , Niza, ke serata hospital dan klinik, namun ubat yang di beri oleh doctor tidak dapat melegakan penyakitnya. " Sakit apa, doctor pun tak tau," tambahnya. 
"Dah pergi berubat kampung ?" saya bertanya. " Dah,tapi macam biasalah...bomoh, cakap kena buat orang, terceroboh kawasan orang bunian., sampuk... macam-macam lagi. Duit banyak habis, masa terbuang, tapi sakitnya takjuga sembuh," jelas Arifin. Malah, kata kawan saya itu, lepuh-lepuh menjadi bertambah banyak pula hingga tubuh isterinya yang langsing menjadi sembab. 
Wajahnya yang cantik juga berubah murung, kusut " Itu masih tak mengapa ustaz. Yang menambahkan kebimbangan saya, setelah beberapa lama, lepuh-lepuh itu bertukar pula jadi gerutu dan berbintil-bintil macam katak puru," tambah Arifin. Akibatnya, sekali lagi Niza menderita kerana selepas tubuhnya hodoh akibat sembab, seluruh kulitnya yang dulu licin menjadi jelik. Dari tangan, bintil-bintil kecil dan besar seperti bisul tumbuh merata, kaki hingga ke muka. Di sebabkan penyakit itu, kawan-kawan yang datang melawat terkejut kerana hampir tidak mengenalinya lagi. 
Akibatnya, Niza terpaksa berhenti kerja. Dia malu untuk berhadapan dengan kawan sepejabat. Memang ada yang bersimpati tapi ada juga yang mengejek. Kebanyakkannya menyindir di belakang , tapi ada juga yang tanpa rasa bersalah mengaibkannya secara berhadapan. Dua tiga tahun berlalu, penyakit Niza bertambah parah. Sehelai demi sehelai rambutnya gugur hingga hampir botak. Rambut yang lembut mengurai menjadi jarang hingga menampakkan kulit kepala yang memutih. Keadaannya itu sangat menyedihkan kerana usia awal 30 an, rambutnya seperti wanita berumur 90 an. 
Seperti daun getah luruh di musim panas, semakin hari semakin banyak rambut Niza gugur. Dalam waktu yang sama, kuku tangan dan kakinya juga menjadi lebam. Daripada biru, ia bertukar kehitaman seperti di penuhi darah beku. 
" Tiap hari, dia termenung. Dia mengeluh, kenapalah dia sakit macam ni. Kenapa dia, bukan orang lain ? Apa salah dia ? Kasian betul saya tengok," kata Arifin. Wajahnya sayu " Hidup kami pun jadi tak terurus macam dulu". 
Di sebabkan doctor tempatan gagal menyembuhkan penyakit Niza, Arifin membawa isterinya ke Singapura. Hampir sebulan mereka di sana dan banyak wang di habiskan namun pulang dengan hati kecewa. Doktor di negara itu juga tidak dapat mencari penawar keadaan penyakit berkenaan. 
" Sekarang ni, keadaan isteri saya dah bertambah teruk. Bila malam saja dia meraung, meracau dan menangis-nangis. Jadi, saya harap ustaz dapatlah tolong serba sedikit sebab dah habis ikhtiar saya mengubatnya cara moden,"tambah Arifin. 
"Insya-Allah....' Balas saya. Tapi saya mula terasa pelik. Perasaan ingin tahu mula bercambah kerana berdasarkan pengalaman, kata-kata yang diluahkan semasa seseorang yang meracau dapat membantu kita merawatnya. Ini kerana semasa meracau itulah dia meluahkan segala yang terbuku di hati. 
"Apa yang dia cakap masa meracau tu ?" " Macam-macam ustaz... tapi ada waktunya dia minta ampun maaf daripada saya. Saya tanya kenapa ?. Dia tak cakap, Cuma minta maaf saja. Yalah... orang dah sakit memang macam tu," kata Arifin. Saya Cuma mendiamkan diri. Mengiakan tidak, menggeleng pun tidak. 
Setelah berbincang lama, dia meminta diri . Sebelum pulang, saya berjanji untuk kerumah Arifin pada malam esoknya. " Datang ya, ustaz . Saya tunggu," katanya sambil mengangkat punggung. 
Dia kemudiannya melangkah lemah meninggalkan pejabat saya. Seperti yang di janjikan, saya sampai ke rumahnya selepas isyak. "Jemput masuk ustaz," Arifin memperlawa sambil membawa saya ke sebuah bilik. "Dia baring dalam bilik ni. Ustaz jangan terkejut pula tengok muka dia. Orang rumah saya ni sensitif sikit," bisiknya sebelum kami masuk ke bilik berkenaan. 
Sebaik pintu di buka, kelihatan seorang wanita berselimut paras dada terbaring mengiring mengadap ke dinding. " Za... ni Ustaz Nahrawi datang," kata Arifin perlahan sambil memegang bahu isterinya. Dengan lemah, Niza menoleh. Masya-Allah memang keadaan Niza sangat menyedihkan . Wajahya penuh dengan bintil-bintil yang menggerutu. Matanya terperosok ke dalam manakala tulang pipi membojol seperti bongkah batu yang membayang di permukaan tanah. Badannya pula kurus cengkung dan kepala separuh botak menandakan dia sudah lama menderita. 
Niza Cuma tersenyum tawar memandang saya. Saya dekati dia dan selepas lima minit meneliti keadaannya, saya panggil Arifin ke sudut bilik. Dengan suara separuh berbisik, saya bertanya; " Pin , saya nak tanya sikit, tapi sebelum tu minta maaflah kalau nanti awak tersinggung ". 
" Tak adalah ,ustaz. Tanyalah, saya tak kisah," jawab Arifin. " Err,...dari mana datangnya bau yang..." soal saya, tapi tak sanggup nak menghabiskannya. Bau yang saya maksudkan itu agak busuk. " Ooo... mmm, dari alat sulit dia," kata Arifin perlahan. "Keluar lendir bercampur nanah." Saya tidak memanjangkan lagi topik itu kerana tidak mahu memalukan Arifin dan isterinya. Lagi pun tidak manis untuk bertanya tentang hal-hal yang seperti itu. 
Sebelum kami duduk semula di sisi Niza, saya memberitahu Arifin, kadangkala di timpa penyakit sebegini sengaja di turunkan balasan oleh Allah kerana ada melakukan dosa atau derhaka kepada ibu atau bapa. Lantas saya bertanya, adakah Niza sudah meminta ampun daripada ibu bapanya. " Sudah ustaz. Dengan emak dan ayah nya saya pun sudah." " Kalau macam tu, baguslah," kata saya.
Setelah merawat Niza dengan doa dan ayat yang dipetik dari al-Quran, saya meminta diri. Sebelum itu saya nasihatkan Arifin dan Niza serta keluarga mereka supaya bersabar dengan ujian Allah. 
" Sama-samalah kita berdoa supaya dia sembuh," kata saya sebelum meninggalkan rumah Arifin. Sudah ketentuan Allah, rupa-rupanya keadaan Niza menjadi bertambah parah. Perkara ini saya ketahui apabila Arifin menghubungi saya beberapa minggu kemudian. Menurut kawan saya itu, isterinya kini kian teruk racaunya. 
Memang benar. Bila saya menziarahnya petang itu, Niza kelihatan semakin tenat. Sekejap-sekejap dia meracau yang bukan-bukan. Malah saya pun tidak dikenalinya lagi. 
Sebelum pulang saya menasihatkan Arifin supaya melakukan solat hajat memohon ke hadrat Ilahi supaya menyembuhkan isterinya. Nasihat saya itu dipatuhi namun beberapa hari kemudian Arifin menalifon lagi. 
Kali ini suaranya lebih sedih, seperti hendak menangis. " Ustaz," katanya, " sekarang barulah saya tau kenapa dia jadi macam tu" "Kenapa ?" pantas saya bertanya. " Sejak dua tiga malam lepas, dia minta ampun daripada saya dan ceritakan segala-galanya". Arifin menyambung ceritanya; Malam itu saya terkejut sebab semasa meracau isteri saya minta ampun kerana telah mengenakan ilmu kotor kepada saya. Kata Niza, dia telah memasukkan darah haid dan air maninya ke dalam makanan saya. Saya tanya "kenapa ?" Dia jawab , supaya ikut kata-katanya dan tak cari perempuan lain. 
" Tambah saya kesal, selepas itu dia meminta ampun pula kerana telah berlaku curang kepada saya. Kata Niza, dia lakukan perbuatan tu selepas saya di tundukkan dengan ilmu hitam. 
" Saya tanya, masa bila awak buat ? Dia jawab semasa ketiadaan saya, tidak kira lah semasa saya bertugas di luar daerah. Semasa keluar seorang diri, dia telah membuat hubungan sulit dengan beberapa lelaki. 
" Niza sebutkan nama lelaki-lelaki itu, tapi saya tak kenal. Kata Niza, hubungan mereka bukan setakat kawan saja, malah sudah ke tahap buat hubungan seks. Kerana itu dia minta berbanyak-banyak ampun daripada saya. Dia minta saya maafkan. 
" Saya tak sangka betul, ustaz. Madu yang saya beri, racun yang dibalasnya. Patutlah selama ini bila berdepan dengan dia saya jadi hilang pertimbangan. 
Saya jadi lemah, rasa diri saya kerdil, takut nak membantah. Sudahlah begitu, dia jadi perempuan...." Kata Arifin tanpa sanggup menghabiskan kata-katanya. 
Termenung saya mendengar ceritanya itu. Tidak saya sangka Niza sanggup berkelakuan demikian kerana Arifin bukan orang sebarangan. Arifin berpelajaran agama dan setia kepada isterinya. Budi bahasa pun elok. 
" Kalau sudah begitu bunyinya, saya rasa awak maafkanlah dia," kata saya. Selain itu saya mencadangkan kepada Arifin supaya merelakan isterinya pergi. 
Kata saya, mungkin nyawa isterinya itu terlalu sukar meninggalkan jasad kerana dia mahukan keampunan daripada suaminya terlebih dahulu. " Lagipun, dia sudah terlalu menderita, sampai badan tinggal tulang, kepala pun dah nak botak. Doktor pula sudah sahkan penyakit dia tidak dapat disembuhkan lagi. Jadi, pada pandangan saya, daripada dia terus azab menanggung seksaan sakaratulmaut, adalah lebih baik kalau awak relakan saja dia pergi. Saya tau ia susah nak di buat, tapi keadaan memaksa." 
" Ampunkan dia ?" Arifin bertanya balik. " Dia dah derhaka dengan saya, buat tak senonoh dengan lelaki lain, kenakan ilmu sihir kepada saya, ustaz mau saya maafkan dia ?" tingkah Arifin dengan suara yang agak keras. 
Mungkin dia terkejut. " Ya... dia pergi dengan aman dan awak pula dapat pahala," jelas saya. 
Saya terus memujuknya supaya beralah demi kebaikan isterinya. Saya katakan, yang lepas itu lepaslah. Lagi pun Niza sudah mengaku dosanya, jadi adalah lebih baik Arifin memaafkannya. Mungkin dengan cara itu Niza akan insaf dan meninggal dengan mudah. 
" Takkan awak nak biarkan dia menderita ? Awak nak pukul dia ? Maki dia? Tak ada gunanya... Maafkan saja dia dengan hati yang benar-benar ikhlas," jelas saya. 
Setelah puas memujuk, akhirnya Arifin mengalah juga. Lalu saya nasihatkan supaya dia bacakan surah Yasin tiga kali dan ulangkan ibu Yasin( salaamun qaulam mirrabir rahim ) sebanyak tujuh kali. 
" Buat malam ni juga. Lepas itu tunaikan solat," kata saya. Seminggu kemudian Arifin menelefon saya. Dengan sedih beliau memaklumkan isterinya sudah meninggal dunia. Tambah kawan saya itu, Niza pergi tanpa sesiapa sedari kerana ketika itu dia sedang menunaikan solat Isyak. Bila kembali, dia lihat isterinya tidak bernyawa lagi. 
" Tapi alhamdulillah, sebelum pergi dia sempat minta ampun daripada saya sekali lagi kerana menderhaka. Marah, memang marah, tapi bila dia pegang tangan saya sambil menangis dan kemudian minta ampun, tidak sanggup juga rasanya untuk membiarkan dia pergi dalam keadaan tanpa kemaafan daripada saya. Ustaz, saya dah ampunkan dia." 
Namun demikian, kata Arifin, lendir dan nanah busuk masih lagi mengalir daripada alat kelamin Allahyarham isterinya itu sehinggalah mayatnya dikebumikan. 
Kepada wanita, kutiplah pengajaran dari cerita ini. Kepada lelaki, hati-hatilah dalam memilih isteri, jgn pandang hanya pada rupa  untuk membangunkan sebuahkeluarga bahagia yang diredhai oleh Allah swt. 


WALLAHUALLAM......
Read more ...